Pilih pakaian dan kelengkapan tempat tidur yang diperbuat daripada kain kapas. Ia membantu kulit bernafas seterusnya membuatkan bayi selesa. Pilih fabrik semulajadi seperti kain kapas untuk pakaian bayi anda kerana ia kurang merengsakan kulit mereka.
Simpan pakaian bayi dalam bekas yang bertutup untuk mengelakkan daripada habuk dan hama yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit bayi.
Elakkan penggunaan buih mandi yang beralkali kerana boleh mengeringkan kulit bayi. Sebaiknya titikkan beberapa titisan krim mandian susu ke dalam besen mandian. Selepas mandi, sapukan losyen pada badan bayi. Air mandian bayi hendaklah suam-suam kuku dan bukan panas supaya kulit bayi tidak mudah mengalami kerengsaan. Jangan memandikan bayi dalam masa yang lama untuk mengelakkan kulit bayi daripada berkedut.
Kerap membasuh sarung bantal, tilam dan permainan lembut bayi bagi mengelakkan pembiakan kuman.
Penggunaan losyen pelembap turut membantu mengekalkan kelembutan dan kekuatan kulit bayi. Gunakan pelembap yang tidak mengandungi alpha hydroxyl acids atau pelindung cahaya. Kuku bayi sangat tajam, nipis dan memanjang dengan cepat. Anda perlu kerap merapikan kukunya iaitu dua kali seminggu. Ia untuk mengelakkan kuku bayi baru lahir boleh mencakar kulit muka mereka sendiri.
Pastikan anda kerap menukar lampin pakai buang bayi terutama bila dia asyik membuang air kecil. Sebelum memakaikan lampin yang baru, sapukan krim perlindungan pada punggungnya untuk memberikan kulit bayi perlindungan tambahan.